Friday, November 6, 2015

Samsung Galaxy S7 nanti akan dilengkapi LTE Cat.12


Menurut laporan terbaru dari Korea Selatan, Samsung Galaxy S7 dikatakan akan dilancarkan pada bulan Februari 2016 dan ianya turut dijangka akan mempunyai sokongan LTE Cat.12.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita sudah mula mendengar ura-ura yang mengatakan Samsung akan memperkenalkan Galaxy S7 lebih awal dan nampaknya bulan Februari 2016 adalah bulan yang akan menyaksikan generasi ketujuh telefon pintar Samsung Galaxy dilancarkan.

Walaubagaimanapun, adalah lebih logik jika Samsung memperkenalkan Galaxy S7 pada bulan Januari sebelum penjualan bermula pada bulan Februari.

Samsung Galaxy S7 dijangka akan hadir dengan dua atau tiga versi dimana satu versi telefon pintar ini akan mempunyai pemproses Snapdragon 820 manakala dua lagi versi akan menggunakan pemproses Exynos daripada Samsung sendiri. 

Pemproses Snapdragon 820 memang telah disahkan akan hadir dengan sokongan LTE Cat.12 namun berita bahawa Exynos 8890 yang akan disertakan pada Galaxy S7 juga akan menyokong LTE Cat.12 adalah sesuatu yang menarik.

Di atas kertas, LTE Cat.12 mampu menyokong kelajuan muat turun sehingga 600Mbps dan kelajuan muat naik sehingga 100Mbps. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna apa-apa jika syarikat telekomunikasi tidak menawarkan kelajuan yang seperti yang mampu disokong oleh LTE Cat.12.


0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2015 JOMGAJET
| Distributed By Gooyaabi Templates