Thursday, April 2, 2015

LG G4 bakal dilancarkan pada penghujung April 2015


Telefon pintar utama LG bagi tahun ini iaitu G4 sudah lama diperkatakan dan sehingga kini masih belum dilancarkan secara rasmi dan laporan terbaru memberikan kita petunjuk bahawa telefon pintar ini akan dilancarkan pada penghujung bulan April.

Sumber maklumat terbaru ini adalah dari Korea Selatan dan pelancaran rasmi bagi LG G4 dijangka akan diadakan didalam masa beberapa minggu sahaja lagi.

Jika anda masih ingat, LG G3 dilancarkan pada bulan Mei tahun lalu sebelum dijual sebulan kemudian dan ini bermaksud LG G4 dilancarkan kira-kira sepuluh bulan selepas LG G3. Sebab utama pelancaran yang lebih awal adalah mungkin disebabkan tekanan daripada Samsung yang akan mula menjual Galaxy S6 dan S6 Edge mulai awal bulan hadapan.

Bercakap mengenai spesifikasi model ini, LG G4 dijangka akan mengekalkan ukuran skrin paparan yang sama seperti G3 iaitu sekitar 5-inci dengan skrin paparan QHD beresolusi 2560 x 1440 selain reka bentuk yang melengkung.


LG G4 juga dijangka akan hadir dengan pemproses generasi terbaru Qualcomm dan kapasiti RAM yang lebih tinggi.

Penganalisa terkemuka menganggarkan LG akan menjual 15 juta unit LG G4 didalam masa 12 bulan dengan 9.2 juta unit akan dijual pada tahun ini sekaligus mengatasi penjualan LG G3.


0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2015 JOMGAJET
| Distributed By Gooyaabi Templates